Kopi memang terkenal sebagai minuman paling popular dan digemari pelbagai bangsa di seluruh dunia. Minat mendalam masyarakat pada minuman berkafein berkenaan menyebabkan ia dihasilkan dalam pelbagai versi perasa mengikut cita rasa masing-masing.
Namun antara faedah kopi yang paling diperkatakan bukan setakat membuatkan seseorang itu berasa lebih bertenaga sebaik bangun tidur tetapi ia lebih daripada itu.
Kopi mempunyai banyak manfaat kepada kesihatan dan kecantikan kulit, antaranya mengurangkan keradangan dan kemerahan pada kulit, malah menurut Universiti Kebangsaan Seoul, Korea, kopi mampu bertindak hampir sama seperti aspirin.
Pada masa sama, lingkaran gelap pada mata akibat kurang air, alahan, kurang tidur atau genetik juga boleh dikurangkan apabila disapu dengan kopi. Ini kerana kandungan kafein dikatakan mampu memperbaiki aliran darah di bawah kulit.
Begitu juga keadaan mata bengkak atau kemerahan juga boleh dikurangkan dengan meletakkan kantung kopi yang sudah digunakan di atas mata dan dibiarkan seketika untuk bertindak.
Paling menggembirakan kebanyakan wanita adalah kopi yang boleh didapati pada harga jauh rendah berbanding mendapatkan rawatan di spa mampu membantu mengurangkan masalah selulit yang sudah pasti merosakkan penampilan seseorang.
Dalam kajian Universiti Sao Paulo, Brazil, pada 2008, pengkaji mendapati kafein mampu mengurangkan sel selulit hingga 17 peratus manakala satu lagi kajian yang dijalankan Universiti Persekutuan Rio de Janeiro ke atas sukarelawan, mendapati kafein dapat mengurangkan selulit pada pinggul sehingga 70 peratus.
Tanpa perlu membelanjakan wang membeli krim yang mengandungi kafein di pasaran, sesiapa saja mampu mendapatkan faedah kafein dengan menggosok sendiri serbuk kafein ke tubuh yang turut bertindak sebagai lulur.
Lulur kopi bukan saja dapat membersihkan kulit dengan membuang sel kulit mati, menjadikannya lebih sihat dan lembut, malah ia juga dikatakan mampu memperbaiki peredaran darah serta membantu memperbaiki beberapa masalah kulit.
Dua sifat kafein yang menjadikannya bahan yang mampu mengurangkan masalah selulit pada tubuh adalah ia bersifat diuretik dan mampu mengetatkan sel dan pembuluh darah.
Sifat diuretiknya membantu menyingkirkan lebihan air dari badan, seterusnya mengurangkan masalah sembap yang sering dikaitkan dengan selulit, seterusnya memberi penampilan lebih langsing.
Namun begitu, penampilan langsing itu tidak kekal lama sebaliknya aktiviti menyental tubuh menggunakan serbuk kopi perlu dilakukan secara konsisten untuk mendapatkan kesan berpanjangan.
Selain itu, sifat antioksidan pada kopi membantu menjaga dan melindungi kulit daripada kesan merosakkan kerana ia mampu melawan radikal bebas yang selalunya dikaitkan dengan penuaan awal.
Radikal bebas sering diakibatkan oleh kerosakan apabila terdedah kepada cahaya matahari atau pencemaran alam sekitar yang menjadi faktor utama terjadinya jerawat, kedutan, garisan halus dan bintik pada kulit.
Kopi juga berkesan untuk mengurangkan bengkak dan kemerahan pada kulit termasuk mereka yang mempunyai kulit sensitif. Ia juga dikatakan mampu merangsang sel kolagen, yang mampu menghasilkan kulit anjal dan gebu.
Cara penggunaan kopi sebagai rawatan kulit adalah dengan memasak kopi dalam teko dan sapukan pada kulit dalam tempoh 20 minit selepas itu.
Masukkan kira-kira tiga sudu besar serbuk kopi dalam mangkuk sebelum dicampur dengan sedikit garam, minyak badam dan minyak zaitun. Basahkan badan dengan air suam terlebih dulu untuk membuka liang roma dan kemudian sapukan di seluruh tubuh dengan cara menggosok secara bulatan kerana selain membuang sel kulit mati, ia dapat memperbaiki peredaran darah seterusnya menjadikan kulit lebih cantik.
Air kopi yang sudah dimasak juga boleh dicelup menggunakan bola kapas dan diletakkan pada bahagian mata setiap pagi dan malam untuk melancarkan peredaran mata.
Satu lagi cara yang boleh dilakukan adalah mengisar biji kopi dan dicampurkan dengan sedikit air, kemudian gosok di seluruh tubuh, biarkan beberapa minit untuk mendapat kesan melembapkan kulit.
Kopi boleh dicampurkan dengan beberapa bahan lain untuk dijadikan pupur wajah seperti serbuk koko, susu penuh krim, putih telur dan minyak zaitun.
Penggunaan kopi sebagai bahan penjagaan kulit bukan asing malah turut diamalkan oleh wanita di Russia, Indonesia, Hawaii dan Amerika Selatan sejak beberapa zaman.
Malah bagi masyarakat Melayu sendiri terutama orang lama, selain sebagai bahan kecantikan kopi juga sering digunakan untuk merawat luka dan menghentikan darah apabila serbuk kopi ditabur pada bahagian yang tercedera.
Sumber : seribupilihan
No comments:
Post a Comment